30 MEI : Baucar buku bernilai RM100 untuk pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) diteruskan bermula esok.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Katanya, mekanisme bagi menuntut baucar itu akan diumum esok.
“Untuk anak-anak, baik di sekolah kebangsaan, sekolah Arab, sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil dan universiti, kita berikan baucar RM100.
“Bagi tahun ini, kita mulakan dari Darjah Empat, untuk mengurangkan tekanan kewangan kerajaan.
“Ia turut diberikan kepada pelajar sekolah menengah, universiti, kolej, institusi perguruan dan sebagainya.
“Mulai jam 2 petang esok, pemberian baucar ini akan dimulakan, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Anwar turut mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan format tuntutan baucar berkenaan supaya ia dapat dimanfaatkan pengunjung PBAKL 2024 yang bakal berakhir pada Ahad ini.
“Menteri Pendidikan Tinggi perlu menyediakan format penggunaan baucar berkenaan. Saya berharap ia dapat digunakan mulai esok pada PBAKL supaya pengunjung dapat memanfaatkannya untuk membeli buku di sini.
“Saya juga menganjurkan supaya (dibuat) senarai judul tertentu agar sebahagian peruntukan baucar itu digunakan untuk membeli buku yang diusulkan dan sebahagian lagi diberi kelonggaran bagi anak-anak memilih sendiri. Kenapa saya sebut begitu…kerana mengikut amalan lalu, buku dipilih (anak-anak) adalah buku picisan yang tidak bernilai.
“Saya selalu sebut mengenai memupuk minat belajar serta mencintai ilmu. Sebagaimana diungkapkan Sayidina Ali bin Abi Talib, ilmu itu lazat, memberi minat dan memperkayakan minda, seterusnya memberi kita kewarasan, kebijaksanaan serta hikmah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan agar masyarakat diberi pemahaman mengenai makna ilmu yang sebenar supaya tidak terdedah dengan maklumat atau karya tidak bermanfaat.
“Bukan semua maklumat itu adalah ilmu. Ada juga maklumat yang hanya sekadar maklumat, selain ada juga yang masuk kategori ilmu. Ilmu seperti dikupas ulama serta sarjana, ada yang memberikan manfaat dan tidak memberi manfaat.
“Justeru, kita perlu melatih anak-anak membaca, mencintai ilmu serta menentukan yang mana adalah informasi dan ilmu, seterusnya mempunyai keupayaan untuk menyaring apa yang disebut ilmu makrifah atau kebijaksanaan,” katanya.
Mengulas soal kebimbangan awam terhadal kurangnya minat membaca terutama dalam kalangan generasi muda kini, Anwar berkata, penting untuk semua pihak termasuk kerajaan lebih berani membuat anjakan ke arah membudayakan amalan itu.
Anwar sempat meluangkan masa melawat reruai PBAKL 2024 selain menyempurnakan pelancaran Buku Edisi Malar Segar Sasterawan Negara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Tun Hussein Onn WTCKL.