30 MEI : Pasangan yang belum mengesahkan perkahwinan selepas mendirikan rumah tangga di luar negara masih boleh mendaftarkan kelahiran anak mereka mengikut prosedur ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pengarah JPN Pahang, Mohammad Abdullah berkata ibu bapa seharusnya tidak berlengah mendaftarkan kelahiran anak, memandangkan mereka boleh hadir ke JPN dan tandatangan daftar secara bersama di bawah Peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
“Namun, anak perlu dinasabkan terlebih dahulu kepada Abdullah atau dengan pilihan nama Asmaul Husna, dan bila disahkah dokumen perkahwinan oleh agensi terlibat, ibu bapa boleh buat permohonan pindaan untuk dinasabkan semula kepada bapa yang sah.
“Sekiranya tidak berhasrat untuk membuat pengesahan bersama, nama anak yang didaftarkan dengan maklumat ibu sahaja (single mother) akan didaftarkan dan dinasabkan kepada Abdullah atau dengan pilihan nama Asmaul Husna.
“Bagaimanapun, ibu bapa masih boleh membuat permohonan pembetulan maklumat dalam Daftar Kelahiran, dengan dinasabkan kepada bapa biologi setelah dokumen pengesahan perkahwinan diterima lengkap,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Mohammad memaklumkan dalam tempoh lima tahun bermula 2019, JPN Pahang merekodkan 1,948 kes pendaftaran lewat dengan tahun lalu merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 618 kes.
Mengulas lanjut, beliau berkata dokumen perkahwinan tidak teratur adalah antara faktor berlakunya kelewatan pendaftaran kelahiran kanak-kanak di negeri ini.
Beliau berkata masalah berkenaan sering kali berlaku bagi pasangan Islam apabila ibu bapa berkahwin di luar negara, namun tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di Pejabat Agama Islam sejurus kembali ke Malaysia.
Selain dokumen pengenalan diri ibu bapa, dokumen perkahwinan asal perlu dikemukakan untuk penentuan taraf kewarganegaraan, keturunan, gelaran nama, agama dan bagi pasangan Islam untuk penasaban kanak-kanak tersebut.
“Ada ibu bapa yang ambil ringan dan menangguhkan proses pendaftaran sehingga anak dilahirkan dan mereka menunggu sampai dapat dokumen perkahwinan yang disahkan untuk ke JPN sekali gus menyebabkan anak mereka lewat didaftarkan,” katanya..
Dokumen perkahwinan termasuk sijil perkahwinan, sijil perkahwinan adat yang diiktiraf di Sabah dan Sarawak, kad perkahwinan, surat pengesahan perkahwinan Orang Asli oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) atau agensi lain yang berkaitan.
Mengulas lanjut, Mohammad berkata antara faktor lain yang menyumbang kepada daftar lewat kelahiran ialah kecuaian ibu bapa sendiri yang tidak mengambil berat tentang keperluan mendaftarkan anak mereka dalam tempoh pendaftaran iaitu dalam 60 hari selepas kelahiran.
“Mereka kadang-kadang ambil mudah dan sambil lewa berkaitan pendaftaran kelahiran anak, tetapi tidak dinafikan terdapat juga ibu bapa yang mempunyai masalah rumah tangga dan peribadi, malah ada juga beri alasan kesibukan bekerja, pasangan bekerja di luar kawasan, tidak dapat cuti dan isteri berpantang di rumah ibu bapa,” kata beliau.
Bagi mengatasi masalah ini, JPN telah mewujudkan Sistem Pra Pendaftaran Kelahiran dalam talian, iaitu ibu atau bapa boleh mendaftarkan maklumat kelahiran dalam sistem itu dan diberikan tempoh selama 180 hari untuk hadir ke mana-mana pejabat JPN bagi membuat pengesahan pendaftaran kelahiran anak.
Katanya proses daftar lewat kelahiran sentiasa dilakukan dengan teliti mengikut prosedur jabatan itu untuk mengelakkan sebarang masalah berkaitan di kemudian hari dan beliau memaklumkan setakat ini, JPN Pahang pernah menerima pendaftaran lewat individu yang sudah pun berumur lebih 70 tahun.
Beliau berkata pendaftaran kelahiran amat penting antaranya dari segi perancangan kepada kerajaan mengenai projek pembangunan, selain ketiadaan sijil kelahiran juga menyukarkan ibu bapa berurusan terutama yang melibatkan rawatan kesihatan, pendidikan, perbankan dan bantuan kebajikan.