31 MEI : Israel mendakwa pasukan pertahanannya (IDF) sudah menawan seluruh Gaza termasuk zon penampan di sepanjang sempadan dengan Mesir, lapor Reuters.
Operasi ketenteraan terbaharu Israel di Rafah yang dikutuk dunia itu telah memberikan kuasa penuh atas keseluruhan sempadan darat Gaza.
Perang yang berlanjutan itu memusnahkan sebahagian besar wilayah berkenaan yang menimbulkan kebimbangan terhadap nasib lebih 1.2 juta pelarian yang semakin diancam kebuluran.
Israel turut melaporkan pertempuran di selatan, tengah dan utara Gaza, namun tidak mengulas mengenai kematian yang dilaporkan di Rafah, satu-satunya lokasi perlindungan buat ratusan ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Sumber perubatan Gaza berkata, ramai mangsa cedera dalam serangan udara Israel ketika mereka cuba membawa keluar mayat 12 orang awam Palestin yang terbunuh di tengah-tengah Rafah.
Sementara Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin yang berhubung dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, menerusi panggilan telefon dilaporkan berkata Israel menegaskan kepentingan operasi berterusan di Rafah untuk mendapatkan maklumat konkrit mengenai tebusan yang ditahan di situ.
Katanya, Gallant turut memperincikan aktiviti IDF di kawasan Rafah dengan mendakwa kononnya sudah mengenal pasti 20 terowong yang dikaitkan dengan pejuang Hamas.
Tentera Israel dalam satu kenyataan lain turut berkata, terowong bawah tanah yang digunakan Hamas untuk menyeludup dan menggerakkan pejuangnya ditemui ketika serbuan terbaru, bersama sejumlah besar senjata dan bahan letupan.
Malah pada 15 Mei lalu, pegawai Israel berkata terdapat 50 terowong yang menghubungkan Rafah ke Sinai di Mesir dan menyuarakan kebimbangan bahawa Hamas boleh menggunakannya untuk menyeludup tebusan ke wilayah Mesir.
Namun Mesir keras menafikan kewujudan terowong seumpama itu atau bantuan pihaknya kepada mana-mana kumpulan pejuang di Palestin.