PM jamin selesai segera Perjanjian Malaysia 1963
31 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan untuk menyelesaikan segera mana-mana perkara disepakati antara kerajaan Persekutuan dan Sabah, seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau yang tidak mahu perkara itu tertangguh berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof juga telah diarahkan untuk mempengerusikan Majlis Tindakan MA63 sebagai platform untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
Majlis Tindakan MA63 itu turut disertai bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, masing-masing merupakan Ahli Parlimen Papar dan Penampang di Sabah.
“Sedaya upaya (kerajaan Persekutuan dan Sabah) selesaikan soal MA63. Dalam tempoh setahun kerajaan MADANI, kita telah menyelesaikan MA63 jauh lebih baik daripada apa yang dibuat pada 10 tahun lalu,” katanya, lapor Bernama.
Perdana menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini pada Jumaat.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Komunikasi Fahmi Fadzli, Armizan dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Anwar berkata, kerajaan Persekutuan pimpinannya tidak ada masalah sama sekali untuk menunaikan apa yang telah dijanjikan dalam MA63, sebaik sahaja kerajaan Sabah bersedia dalam semua perkara berkaitan seperti penyerahan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Pada Januari, dilaporkan kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah dan SESB kepada kerajaan Sabah secara berfasa, yang merupakan sebahagian usaha untuk memartabatkan MA63.
Anwar berkata, kerajaan Persekutuan juga sentiasa peka dengan keperluan Sabah dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk menangani masalah dihadapi negeri itu, malah peruntukan disalurkan kepada Sabah juga adalah lebih tinggi berbanding negeri lain.
Justeru, Anwar meminta semua pihak untuk melihat keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap Sabah, tidak hanya melibatkan usaha merealisasikan tuntutan dalam MA63, tetapi juga dalam aspek meningkatkan infrastruktur dan menoktahkan kemiskinan, selain menarik kehadiran pelabur.
“Sejak saya jadi Perdana Menteri, berbanding dengan keadaan sebelumnya, tahun 2022 peruntukan keseluruhan untuk Sabah RM12.9 bilion, (tahun) 2024 saya tambah jadi RM16 bilion.
“Jadi, orang yang menyerang kita harus ingat, betul kita belum putuskan soal 40 peratus (tuntutan hasil dari Sabah), tetapi RM16 bilion ini jauh melebihi angka 40 peratus yang dijanjikan itu. Kita harus lihat keseluruhan, boleh buat tuntutan, boleh lihat perjanjian dan beberapa peruntukan yang disepakati.
“Saya baru jadi Perdana Menteri, kerajaan Perpaduan MADANI baharu satu setengah tahun, tetapi dalam tempoh ini, saya meningkatkan peruntukan Sabah…tambah RM4 bilion, tertinggi dalam negara kita,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan perkara itu memandangkan terdapat pihak termasuk Ahli Parlimen membuat kritikan, seolah-olah kerajaan Persekutuan menafikan hak dan menganaktirikan Sabah.
“Tuntutan dan kritikan boleh dibuat, namun jangan sampai menafikan segala peruntukan atau usaha dilaksanakan kerajaan Persekutuan dalam membantu merancakkan pembangunan negeri,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim