3 JUN : Tujuh wakil rakyat Bersatu yang digugur keahlian mereka menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.
Jurucakap mereka, Mohd Azizi Abu Naim yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata setakat artikel ini disiarkan, mereka masih belum menerima sebarang notis berkaitan status terbaharu itu.
Menurut Mohd Azizi, notis terakhir yang diterima pada 17 Mei lalu meminta wakil rakyat Bersatu menzahirkan pendirian berkaitan kesetiaan terhadap parti.
“Sehingga kini, kami belum menerima sebarang surat daripada parti menyatakan keahlian kami sudah ditarik.
“Kami menerima keputusan itu dengan hati terbuka,” katanya lapor NST, hari ini.
Semalam, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan berkata keahlian enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) digugurkan serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan 25 daripada keseluruhan 31 Ahli Parlimen Bersatu menyempurnakan surat Arahan Khusus MPT untuk ikrar terus setia kepada parti, selepas tarikh tamatnya pada 31 Mei lalu.