3 JUN : Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang berkemampuan, khususnya penghuni Anjung Sinar Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di seluruh negara perlu merebut peluang untuk melanjutkan pelajaran secara percuma dalam bidang kejururawatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata penglibatan mereka dalam industri itu mampu memperkukuh keperluan perkhidmatan sektor penjagaan kesihatan Malaysia yang bakal mendepani negara menua.
“Untuk anak-anak di Anjung Sinar, mereka tidak ada tempat tinggal…selepas Tingkatan Lima, mereka tidak ada pekerjaan jadi kita di YKN akan bantu buat padanan kerja dan kembali kepada program seperti ini.
“Program seperti ini yang ditaja sepenuhnya adalah penyelamat mereka, tidak kira bagi mereka yang tinggal di kampung atau menginap di Anjung Sinar, ini peluang yang sangat baik,” katanya pada sidang media mengenai Kolej i-System Sarawak, hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata inisiatif pendidikan percuma program Diploma Kejururawatan seperti yang ditawarkan di Kolej i-System mendapat tajaan beberapa hospital swasta di Malaysia.
Nancy berkata sejumlah 385 jururawat disasar dilahirkan menerusi program itu dan tajaan melibatkan kemudahan tempat tinggal serta elaun bulanan berdasarkan lokasi hospital terbabit bagi latihan industri.
Beliau berkata program itu turut menjamin peluang pekerjaan untuk graduan sejurus tamat pengajian di peringkat Diploma.