AS perlu lebih tegas dengan Israel : Anwar
5 JUN : Malaysia menyokong penuh cadangan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) yang menjadi perantara menyeru Israel serta Hamas untuk memuktamad perjanjian gencatan senjata kekal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekutu kuat Israel, AS perlu bertindak tegas terhadap keanguhan dan kedegilan rejim Zionis yang mengakibatkan terlalu banyak bencana.
“Kita bincang dalam mesyuarat jemaah menteri (untuk) memberi sokongan kepada Mesir, Qatar dan AS.
“Saya percaya ia lebih lunak berdasarkan apa yang saya pernah bincangkan dengan pimpinan Hamas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani, hari ini.
Terdahulu, Qatar, Mesir dan AS yang menjadi pengantara gencatan senjata menyeru Israel dan Hamas agar memuktamad perjanjian yang merangkumi prinsip digariskan oleh AS untuk gencatan senjata berkekalan.
Prinsip tersebut menggabungkan tuntutan semua pihak dalam satu perjanjian yang memenuhi pelbagai kepentingan dan akan membawa kelegaan segera kepada rakyat Gaza, tawanan dan keluarga mereka yang telah lama menderita.
Negara pengantara itu turut menekankan “perjanjian itu menawarkan jalan baharu untuk gencatan senjata kekal dan menamatkan krisis.”
Sebelumnya, Presiden AS, Joe Biden dilaporkan berkata Israel mengemukakan perjanjian kepada Hamas namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi hasratnya untuk meneruskan serangan ke atas Gaza sehingga mencapai semua matlamatnya.
Sementara itu, Anwar dalam ucaptama majlis tersebut mengajak golongan muda kembali ke landasan bagi mengangkat negara menerusi Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani.
Katanya, modul terbabit dirangka berteraskan prinsip Perlembagaan selain turut menghargai sumbangan pemimpin dan pejuang terdahulu.
“Saya mengajak rakan-rakan balik kepada landasan mahu mengangkat negara, mesti dengan keyakinan, mesti dengan semangat perpaduan, semangat kecintaan kepada negara serta keyakinan bahawa Malaysia ini mampu diangkat sebagai negara hebat di mata dunia,” katanya.
Modul tersebut diolah dengan mengambil kira pelbagai aspek yang disesuaikan dengan agenda dan matlamat gagasan Madani.
Kaedah pelaksanaan modul itu diperkenalkan menggabungkan kaedah konvesional dan pendigitalan supaya menarik minat pelbagai pihak khususnya golongan muda.