8 JUN : Amerika Syarikat (AS) bakal membina semula jeti terapung yang rosak akibat cuaca buruk baru-baru ini.
Projek pembinaan jeti itu siap pada pertengahan Mei dengan kos AS$230 juta dan musnah dipukul ombak hanya selepas beberapa hari beroperasi.
Pusat Pemerintahan Tentera (CENTCOM) memaklumkan bantuan kemanusiaan ke Gaza akan dihantar melalui jeti sementara itu dalam beberapa hari lagi.
Sekatan Israel ke atas Palestin sejak konflik tercetus menyebabkan pendudukan negara itu berdepan risiko kebuluran.
Menurut laporan antarabangsa, ada kumpulan yang menghulurkan bantuan menegaskan penghantaran bantuan melalui jeti itu tidak berkesan.
Mereka mendesak laluan darat dibuka bagi membolehkan bantuan disalurkan ke wilayah itu.
Bulan lepas, 20 organisasi antarabangsa, termasuk Amnesty International dan Doctors Without Borders mengecam pembinaan jeti tersebut yang disifatkan hanyalah perubahan kosmetik yang gagal mengatasi krisis sepenuhnya.
Jeti itu dianggap simbol kegagalan dan bertentangan dengan polisi AS di Gaza.