8 JUN : Pemerkasaan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) boleh dilaksanakan dengan peruntukan lebih besar jika perbuatan rasuah dan sakau yang menyebabkan negara kehilangan ratusan juta ringgit tidak berlaku, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana menteri berkata, perbuatan salah laku dan khianat pada amanah itu perlu diperangi dan dihentikan segera, kerana bidang TVET negara yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk berkembang dan menarik pelaburan asing, menuntut tumpuan dan perbelanjaan yang tinggi oleh kerajaan.
“Tindakan berani perlu dibuat untuk kita hentikan kerja-kerja sakau… beli barang TVET harga RM40 juta, sakau RM5 juta. Hendak buat projek tebatan banjir, harga RM1 bilion, sakau RM200 juta.
“Ini khianat mesti dihentikan untuk kita dapat pulangkan wang kepada rakyat. Anak-anak kena faham sebab orang marah kita, apa asyik cakap soal sakau, rasuah dan tatakelola? Ya, inilah menyebabkan kita sulit untuk mencari wang sekarang,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di Bantingpada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar berkata, atas sebab itu, beliau memberitahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menggeledah dan menangkap siapa sahaja yang mencuri hak rakyat, demi menyelamatkan negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan mengenai penyasaran semula subsidi elektrik, diesel dan ayam, dapat menjimatkan perbelanjaan negara sehingga berbilion ringgit.
Beliau berkata, dengan penjimatan ‘sedekah’ yang turut dinikmati golongan mahakaya dan warga asing, kerajaan pastinya dapat membantu meringankan beban rakyat dalam banyak perkara, termasuk menambah peruntukan memperkasa bidang TVET.
“Ini semua perlu difahami termasuk penyasaran subsidi diesel yang baharu diumumkan…ramai antara kita tidak terlibat, cuma nelayan, petani, pekebun kecil dan pengusaha bas, itu pun kerajaan bantu dengan bantuan khas,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim