8 JUN : UMNO-BN perlu lebih berani mengemukakan calon lebih awal bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kelewatan parti itu menyukarkan rakyat untuk mengenali calon UMNO-BN.
“Jadi, bila umum awal calon, pemimpin terbabit boleh berkhidmat kepada masyarakat dan perkara ini perlu dilakukan dengan segera.
“Sebelum ini kita tidak buat kerana UMNO dan BN (Barisan Nasional) kuat. Bila kuat, saat akhir pun boleh menang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional Negeri Kelantan 2024 di Kota Bharu, hari ini.
Mengulas lanjut, Johari berkata masa singkat itu juga tidak membolehkan calon memberikan khidmat kepada rakyat kawasan tersebut
Tegasnya, pendekatan itu perlu diubah bagi menyesuaikan dengan selera rakyat yang berbeza berbanding sebelum ini.
Menurut Johari lagi, rakyat masa kini akan menilai apa yang calon pemimpin itu boleh tawarkan jika diberi mandat untuk mentadbir.
Dalam pada itu, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi melahirkan harapan agar UMNO Kelantan melahirkan lebih ramai pemimpin muda untuk diangkat sebagai calon.
“Kehadiran pemimpin muda yang berkaliber dengan tunjuk ajar dari pemimpin senior mampu membentuk gandingan mantap dalam usaha menawan semula negeri ini dari PAS pada PRU akan datang,” katanya.