10 JUN : Langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel perlu untuk menyelamatkan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini, beliau yang juga menteri kewangan berkata tindakan perlu diambil walaupun kerajaan sedar ia merupakan langkah tidak popular.
“Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kena tahu juga apapun kita lakukan kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.
“Padahal kita beritahu penyasaran subsidi ini semua perdana menteri sebelum itu telah setuju cuma tidak ada tekad politik melaksanakan kerana risikonya ada, tapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan,” katanya, lapor Bernama.
Semalam kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam tadi.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan ketika mengumumkan perkara itu berkata ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.
Beliau berkata dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun, di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.
Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.