PM ikrar pertahan penjawat awam yang buat kerja, tidak layan ‘penyakau’
11 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan mempertahankan penjawat awam yang menjalankan tugas dengan baik dan tidak akan terikut-ikut dengan tekanan daripada puak ‘penyakau’.
Berucap pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini, Anwar berkata beliau telah memaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk mempertahankan penjawat awam yang menjalankan tugas dengan bertanggungjawab.
“Saya akan pertahankan setiap penjawat awam selagi mereka jalankan tugas dengan baik.
“Saya tidak akan terikut-ikut dengan tekanan puak-puak ‘penyakau’, jadi saya harap saudara faham itu,” katanya, lapor Bernama.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hal ini kerana terdapat banyak kes dilaporkan mengenai ada tindakan diambil terhadap penjawat awam biarpun menjalankan tugas dengan baik susulan ‘tekanan’ daripada pegawai peringkat tertinggi.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim