13 JUN : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku integriti yang dilakukan kakitangan jabatan itu.
JPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan dan hukuman yang berkaitan dan setimpal akan dikenakan sekiranya siasatan dijalankan membuktikan pegawai didapati bersalah.
“JPN sentiasa serius dan komited memastikan tiada pelanggaran integriti atau seumpamanya dengan melaksanakan penambahbaikan prosedur dan proses kerja di jabatan ini.
“Malah pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan turut dijalankan secara berterusan sebagai usaha tidak berbelah bahagi jabatan ini bagi memastikan tiada sebarang ruang kesalahan berkaitan integriti yang berlaku,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama.
Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar dalam sidang media hari ini memaklumkan pihaknya menerima 176 aduan berkaitan salah laku tahun ini dengan kebanyakan melibatkan Jabatan Imigresen (JIM).