15 JUN : Peserta baharu program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi kategori platinum, gold dan silver tidak layak memohon status penduduk tetap (PR), menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau dalam hantaran Facebooknya memaklumkan kerajaan bersetuju memperkenalkan syarat baharu penyertaan MM2H.
“Menerusi pendekatan terbaharu ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yakin program MM2H berupaya menarik minat bakal peserta daripada golongan sasaran, khususnya warga asing berpendapatan tinggi dan nomad digital dalam menjadikan Malaysia destinasi pilihan utama.
“Kehadiran golongan ini diharap akan merancakkan lagi ekonomi tempatan, terutama dalam industri pelancongan, perumahan, pendidikan, perubatan dan sebagainya, sekali gus menjadikan Malaysia hab global berdaya saing tinggi,” katanya, lapor Bernama.
MM2H yang diperkenalkan pada 2002 membenarkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia sebelum dibekukan sementara pada Ogos 2020 bagi memberi ruang kepada Kementerian Dalam Negeri serta Motac mengkaji serta menilai semula program itu secara komprehensif.
Sejak Oktober 2021, permohonan baharu MM2H dikendalikan Jabatan Imigresen, merangkumi urusan berkaitan perkhidmatan pemprosesan permohonan sedia ada dan logistik.
Berdasarkan infografik dikongsikan Tiong dalam hantaran sama, pemohon MM2H dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu platinum, gold dan silver berdasarkan kriteria serta syarat.
Antara syarat am bagi tiga kategori itu ialah terbuka kepada warga asing berusia 25 tahun ke atas dari negara mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia, semua permohonan dibuat melalui Pusat Sehenti MM2H dan tempoh berada di Malaysia sekurang-kurangnya 90 hari secara kumulatif dalam setahun.
Antara perincian kriteria dan syarat permohonan untuk kategori platinum ialah mempunyai simpanan tetap USD1 juta, kategori gold pula mempunyai simpanan tetap USD500,000 dan silver USD150,000.
Tiong dalam hantaran sama turut memaklumkan MOTAC telah mula memproses dan meluluskan lesen perniagaan pengendalian pelancongan MM2H dengan syarat baharu diperkemaskan.
Katanya, ejen yang diluluskan lesen itu menggunakan syarat baharu boleh mula mengemukakan permohonan peserta baharu di Pusat Sehenti MM2H di Putrajaya.
Antara syarat lesen perniagaan pengendalian pelancongan MM2H ialah modal berbayar syarikat dinaikkan daripada RM50,000 kepada minimum RM200,000, fi lesen RM2,500 setahun dan lokasi premis perniagaan beralamat sah.
“Syarat baharu ini diperkenalkan untuk meningkatkan kredibiliti dan akauntabiliti syarikat perniagaan pengendalian MM2H berlesen. Tambahan, syarat lesen ini bertujuan melindungi peserta dengan lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, butiran lanjut berhubung syarat akan diperjelaskan dalam garis panduan permohonan lesen perniagaan pengendalian pelancongan MM2H di laman sesawang Motac.
Sebarang pertanyaan berhubung pelesenan MM2H boleh dibuat melalui e-mel lesenmm2h@motac.gov.my.