18 JUN : Sebuah kedai emas dalam pusat beli-belah di Kajang kerugian kira-kira RM3.2 juta selepas dirompak empat lelaki bersenjata api, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman dilaporkan dberkata pihaknya sedang giat membuat kesemua suspek yang terlibat.
“Siasatan kes masih berjalan. Setakat ini tiada tangkapan. Kerugian adalah dianggarkan RM3.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Menurut Mohd Nasir, setakat ini tujuh saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan, termasuk pekerja kedai tersebut dan akan merakam keterangan beberapa lagi saksi lain.
Terdahulu, media melaporkan empat lelaki bersenjata api dan berpakaian seperti pengawal keselamatan merompak sebuah kedai emas dalam sebuah pusat beli belah di Kajang, semalam.
Rompakan dilaporkan berlaku pada jam 3.17 petang dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima laporan awam berhubung kejadian pada jam 3.30 petang.
Mohamad Nasir dilaporkan berkata suspek bersenjatakan dua pistol dan selaras senapang ketika bertindak dengan salah seorang suspek melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis berkenaan.
Mereka kemudian memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi dan mengambil barang kemas.
“Kesemua suspek kemudian melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak membabitkan kecederaan mahupun kematian.
Mohamad Nasir turut meminta saksi awam untuk tampil membantu siasatan polis dengan berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768 atau mana-mana balai polis berhampiran.
*Foto: Ihsan Facebook