19 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia melihat hubungan dengan China bukan setakat dua hala tetapi menerusi lensa strategik yang menyeluruh.
Beliau percaya menjadi kepentingan strategik Malaysia untuk menjalin persahabatan dan kerjasama dengan China, dan bukan sebaliknya.
“Kita berusaha sedaya upaya untuk melibatkan China secara diplomatik dan menyepadukannya ke dalam hal ehwal serantau kerana ia penting untuk masa depan kita bersama,” katanya semasa majlis makan malam sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China, hari ini, lapor Bernama.
Anwar berkata hubungan perdagangan teguh yang menyaksikan China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 15 tahun lalu, menunjukkan kepentingan mendalam hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
“Memandangkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) memangkin peningkatan kesalinghubungan dan kerjasama antarabangsa, inisiatif ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ memberikan rangsangan ekonomi yang luar biasa khususnya di wilayah Pantai Timur Malaysia,” kata perdana menteri.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim