PM China diberi sambutan rasmi di Putrajaya
19 JUN : Perdana Menteri China, Li Qiang yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, di Putrajaya, pagi ini.
Li yang tiba di Malaysia semalam untuk kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Mac tahun lalu, disambut Perdana, Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejurus tiba pada jam 9.30 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Li kemudian memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Adibadiuezshah Ahmad.
Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.
Li dan Anwar kemudiannya mengadakan pertemuan dua hala untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China, serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin itu juga akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.
Li tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 8.44 malam tadi, lapor Bernama.
Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion).
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim