21 JUN : Pertarungan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bakal bermula usai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi, esok, lapor Bernama.
Setiap bakal calon diberi tempoh sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan sebelum senarai mereka yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu dan pihak yang bertanding mempunyai 14 hari tempoh berkempen, bermula selepas pengisytiharan calon bertanding esok hingga jam 11.59 malam, 5 Julai.
Sungai Bakap merupakan satu daripada tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal.
Setakat ini bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, 60 dinamakan sebagai calon kem Kerajaan Perpaduan menerusi Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sementara bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56 mewakili Perikatan Nasional (PN).
PRK DUN Sungai Bakap dijangka menyaksikan persaingan sengit antara PH-BN dan PN, memandangkan Joohari yang mewakili PKR dalam misi merampas kembali kerusi yang dimenangi parti itu selama tiga penggal dari 2008, sebelum terlepas ke tangan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.
Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) ribut petir diramal berlaku di sekitar Nibong Tebal pada sebelah pagi dan petang esok, manakala cuaca diramal baik pada sebelah malam.