24 JUN : Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan berkait isu pemilikan sebahagian saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) semalam hanya pandangan peribadi beliau.
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sudah menemui Mohamad berkait perkara itu.
“Pendapat yang diberikan oleh Tok Mat (Mohamad) adalah pendapat peribadinya dan saya sudah bertemunya malam tadi.
“Beliau menyatakan itu hanya pandangannya dan bukan mencerminkan pandangan UMNO secara rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mohamad yang juga Menteri Luar berkait pemilikan sebahagian saham MAHB oleh Global Infrastructure Partners (GIP) yang mempunyai kepentingan Blackrock Inc (Blackrock).
Menurut Ahmad Zahid isu itu sudah beberapa kali dibawa dalam Kabinet namun tidak dibincangkan secara terperinci.
“Butiran terperinci perkara itu sudah dijelaskan dalam pertemuan semalam bersama seluruh Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.
Semalam, Mohamad dilaporkan berkata keputusan kerajaan itu tidak dibuat melalui Kabinet, namun UMNO masih mengharapkan ia dikaji semula.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta isu berkenaan tidak dijadikan ‘wayang politik’ dalam pada masa sama tidak boleh menafikan usaha kerajaan menyuarakan konflik di Gaza.
Anwar menegaskan, kerajaan tidak mahu bertindak ke atas mana-mana syarikat asing yang didakwa mempunyai kaitan sokongannya dengan Israel, kerana langkah itu dikhuatiri akan menjejaskan ekonomi negara.
“Sementara kita keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza, kita sedia berdepan dengan siapa saja.
“Tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara. Kalau syarikat itu syarikat dari Israel saya tetap tegas (tak benarkan operasi di Malaysia). Itu yang saya nak jelaskan,” kata Anwar.
Kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, MAHB berunding dengan GIP namun syarikat tersebut diambil alih Blackrock.