24 JUN : Tarikh bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, dipinda ke 14 Oktober hingga 12 Disember depan berbanding 7 Oktober hingga 5 Disember yang ditetapkan sebelum ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam pemasyhuran sempena Mesyuarat Kedua, hari ini, berkata sidang berkenaan akan berlangsung selama 35 hari.
Beliau berkata, perkara itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Majlis, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Notis perubahan itu dihantar kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat pada 14 Jun lalu,” katanya, lapor Bernama.
Johari turut mengingatkan Ahli Dewan Rakyat supaya mematuhi masa ditetapkan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
“Pematuhan ini adalah penting bagi membolehkan lebih banyak pertanyaan dapat dijawab di Dewan yang mulia ini,” katanya.
Dalam pada itu, Dewan Rakyat turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal, serta bekas Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup, yang masing-masing meninggal dunia pada 10 Mei dan 17 April lalu.
Pada pemasyhuran itu, Johari turut mengajak semua Ahli Parlimen untuk berdiri dan bertafakur bagi memberi penghormatan kepada kedua-dua mendiang yang telah banyak berjasa kepada negara.
“Saya berharap seluruh ahli keluarga kedua-dua mendiang terus tabah dalam menghadapi situasi ini,” katanya.
Dalam ucapannya, Johari turut menyifatkan Mutang yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990, sebagai seorang pemimpin yang komited dalam usaha mereformasi institusi Parlimen, serta amat prihatin akan kebajikan rakyat Malaysia.