25 JUN : Mana-mana kenderaan asing yang disaman di negara ini perlu melangsaikan bayaran sebelum meninggalkan Malaysia bermula 1 Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata kerajaan serius dalam perkara itu melalui pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP).
“Bermula 1 Oktober, VEP akan dikuatkuasakan. Mesejnya adalah jelas. Saya harap pemandu dari Singapura yang kerap masuk ke Malaysia patuh kepada undang-undang dan peraturan ditetapkan.
“Jika sebelum ini mereka yang mempunyai banyak saman sukar dikesan, namun dengan pelaksanaan VEP (kita) dapat mengenal pasti setiap kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dan melanggar undang-undang.
“Maereka perlu bayar saman dahulu sebelum keluar dari negara kita,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia (PIMA), hari ini.
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan (MOT) dilaporkan akan melaksanakan sistem Kutipan Caj Jalan dan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (RCVEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Oktober ini.
Menurut Loke, mana-mana individu yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di dalam Malaysia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta333).
Tambahnya, pelaksanaan VEP juga akan diperluas di sempadan darat Malaysia-Thailand.
Selain itu, Loke berkata, sejak April 2019, MOT melaksanakan pendaftaran VEP kepada pemilik kenderaan asing yang merentasi Kompleks CIQ Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor serta Kompleks CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar di Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
Beliau turut mendedahkan terdapat hanya sekitar 70,000 kenderaan motor pendaftaran Singapura berdaftar dan mengaktifkan tag VEP manakala lebih 200,000 kenderaan motor yang berdaftar masih belum melengkapkan proses memasang serta mengaktifkan tag VEP masing-masing.