25 JUN : Sistem pendidikan negara perlu penyelarasan segera bagi membolehkan generasi muda bersaing dalam ekonomi global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dengan perubahan zaman, proses akademik biasa tidak lagi boleh digunakan di mana penekanan perlu diberi pada kejuruteraan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI).
“Sebagai contoh, universiti terbaik sekali pun perlu mengambil sedikit masa dalam memperkenalkan disiplin baharu kerana mereka mempunyai banyak peringkat seperti jabatan, fakulti, lembaga pengarah, senat…sebelum kelulusan akhir boleh dibuat.
“Jika anda melalui proses itu dengan AI, maka anda akan kehilangan masa. Perkara ini perlu berubah dengan cepat. Kita bernasib baik apabila baru-baru ini UTM memulakan fakulti AI, mereka dapat melakukannya dalam empat bulan, yang merupakan satu rekod.
“Bermakna orang kita, jika ada dasar yang jelas, boleh mengadaptasi dan membuat pelarasan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab pada Mesyuarat Agung Tahunan American Malaysian Chamber Of Commerce (AMCHAM Malaysia) ke-47 di ibu negara, hari ini.
Menurut Anwar, Malaysia kini kekurangan 30,000 jurutera dan pekerjaan dalam bidang berkemahiran tinggi seperti semikonduktor.
Anwar berkata, selepas mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun hadapan, keutamaan Malaysia ialah dasar digital yang merangkumi seluruh ASEAN, khususnya dalam perdagangan digital membabitkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).
Malah kata Anwar, perbincangan awal sudah dilakukan di Jakarta awal tahun ini dan dasar awal sudah pun dalam perangkaan.
“Kita perlu melakukannya dengan pantas, mesyuarat itu baru semalam tetapi saya faham kebimbangan anda, jika anda mempunyai pandangan, boleh bawa ke atas.
“Memang menjadi salah satu keutamaan kita untuk ASEAN tahun depan, apabila kita menyambung kepimpinan, salah satu program utama yang kita ingin mulakan sudah tentu, pemahaman digital dan ketersambungan di seluruh rantau ini, khususnya ASEAN,” katanya.