Pemerdagangan orang: Lepas 7 tahun, kedudukan Malaysia naik Tahap 2
25 JUN : Setelah tujuh tahun, Malaysia kembali berada di kedudukan Tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata kedudukan itu meletakkan Malaysia naik satu tahap lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu Tahap 2 Pemerhatian.
“Peningkatan ini adalah amat strategik dan sangat signifikan kerana Malaysia sebelum ini dinilai pada Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist) pada tahun 2023 dan kali terakhir berada di Tahap 2 adalah pada tahun 2017.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha pelbagai pihak berkepentingan yang turut memberi sumbangan bermakna dan berterusan dalam menjayakan agenda membanteras pemerdagangan orang di Malaysia,” kata KDN dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut KDN, antara pencapaian signifikan yang direkodkan adalah peningkatan bilangan penyiasatan, sabitan kes dengan hukuman yang signifikan, program kesedaran, pendakwaan terhadap penjawat awam, peningkatan pendakwaan kes pemerdagangan buruh, penyaluran peruntukan kepada rumah perlindungan serta peningkatan kelulusan kebenaran bergerak bebas kepada mangsa pemerdagangan orang.
Selain itu, laporan berkenaan juga menggariskan 16 perkara untuk ditambah baik dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan bagi penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2024 hingga 31 Mac 2025.
“Selain itu, laporan ini juga merekodkan perkara penambahbaikan baharu iaitu memberi perkhidmatan berpaksikan mangsa kepada semua tanpa syarat yang memerlukan penyertaan mereka dalam prosiding jenayah,” kata KDN.
Justeru itu, KDN merangka tiga fokus utama iaitu mempertingkatkan kerjasama antara agensi, memperhebat usaha mengenalpasti dan melindungi mangsa serta menambah baik proses pendakwaan.
“Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui KDN bersama-sama dengan kementerian dan agensi kerajaan lain beriltizam melaksanakan tindakan dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia termasuklah dalam menangani trend terbaharu melibatkan penipuan pekerjaan dan insiden pekerja terabai,” kata kenyataan itu.