25 JUN : Kerajaan menegaskan langkah penjualan sebahagian saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock dibuat melalui penetapan syarat yang ketat.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tapisan terhadap kesemua 145 syarikat yang berminat juga dilakukan sebelum akhirnya lima syarikat disenarai layak termasuk BlackRock.
“Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) melaporkan apabila dibuka untuk pertimbangan pengurusan, sekitar 145 (syarikat) yang berminat, akhirnya lima yang layak.
“Syarat yang ditetapkan Khazanah adalah ketat dan ia tak dipersetujui kebanyakan (syarikat). Pertama, (jawatan) pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) mestilah rakyat Malaysia, selain itu, majoriti pegangan adalah (milik) Malaysia.
“Namun syarikat yang berminat ini, baik Singapura atau lain-lain, mereka nak hak mengurus. Maknanya CEO dalam kalangan rakyat dia atau mereka yang tentukan. Syarat ini tak diterima. Itu sebabnya mengapa Global Infrastructure Partners (GIP) diambil,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengemukakan soalan tambahan berkait pemilihan Blackrock yang dilaporkan sebagai syarikat pro-Israel.
Jelas Anwar, sebarang keputusan pelaburan dibuat Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) tidak pernah dirujuk kepada Kabinet susulan ia bukan urusan kerajaan.
Katanya, amalan itu bukan perkara baharu sebaliknya turut menjadi amalan pada pentadbiran terdahulu.
“Semua pelaburan PNB, KWSP, Khazanah itu bukan urusan Kabinet. Saya lihat juga minit mesyuarat Kabinet (pentadbiran) sebelumnya, keputusan pelaburan Khazanah, PNB dan KWSP tidak dirujuk Kabinet, termasuk semasa rakan-rakan sebelah sana (pembangkang) menjadi Jemaah Menteri.
“Tetapi dalam kes ini (pegangan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) oleh GIP, saya ada maklumkan Kabinet…ini yang berlaku, (hanya) sebagai makluman saja.