28 JUN : Kerajaan bersetuju menjadikan modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) sebagai mata pelajaran wajib di semua institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), seluruh negara.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, persetujuan terhadap syor dikemuka SPRM itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 20 Mei lalu.
“SPRM juga akan menyediakan tenaga pengajar Latihan Jurulatih (TOT) dan pensyarah bagi modul-modul teknikal yang berkaitan dengan Akta SPRM 2009,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dalam kenyataan sama berkata SPRM peka dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan bidang TVET selari dengan keperluan revolusi industri 4.0, kerana banyak pertambahan peluang latihan dibuka kepada pelajar.
“Oleh itu, modul KIAR ini dijadikan sebagai sebahagian daripada pendidikan TVET sedia ada sebagai satu usaha berterusan, untuk melahirkan tenaga kerja dan usahawan yang tidak berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah dalam urusan perniagaan.
“Ini bagi memastikan industri yang didokong oleh TVET terutamanya industri kecil dan sederhana, tidak tercemar serta bebas dengan isu rasuah,” katanya.
Norazlan berkata inisiatif itu sejajar dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 iaitu Strategi 1 Substrategi 7, iaitu memperkenalkan pelaksanaan modul atau Kursus Integriti dan Antirasuah kepada pelatih TVET di institusi TVET.
Sejak 2021, SPRM telah melaksanakan pembelajaran KIAR ini bersama dengan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah, Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Kuala Lumpur dan Melaka di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Pelaksanaan KIAR diteruskan di 22 Institusi Latihan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS).