28 JUN : Pengundi di Sungai Bakap diseru supaya bijak menilai dan tidak mudah termakan dengan dakyah pembangkang meminta mereka menunjukkan protes terhadap kenaikan kos sara hidup menerusi peti undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 6 Julai ini.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek menyifatkan tindakan pihak lawan memainkan naratif mengajak pengundi mengambil tindakan itu terhadap Kerajaan Perpaduan boleh mencemarkan proses demokrasi negara.
“Tidak wajarlah protes (peti undi) dilaksanakan. Kita kena tahu bahawa undi dan juga proses demokrasi ini berlangsung dalam kotak undi.
“Bagi saya naratif sebegitu sangat dangkal dan tumpuan serta usaha kita (kerajaan) adalah untuk pastikan semua (isu rakyat) maknanya dari segi keupayaan dan khidmat kebaktian kita (wakil rakyat) mesti sampai kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di Nibong Tebal, semalam, lapor Bernama.
Terdahulu Fadhlina bersama jentera Perpadunan menyantuni peniaga di Pasar Malam Sungai Duri dalam usaha membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang kini memasuki hari keenam.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata mereka mermerlukan sokongan penuh dalam memilih wakil rakyat yang boleh mengangkat semua isu rakyat ke peringkat atasan dan benar-benar boleh bekerja untuk rakyat seterusnya menyampaikan suara penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Media sebelum ini melaporkan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dalam kempennya meminta pengundi Sungai Bakap melakukan protes menerusi peti undi sebagai cara menyatakan bantahan tidak puas hati terhadap Kerajaan Perpaduan.
Joohari dan Abidin bersaing dalam pertandingan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas.