29 JUN : UMNO akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri susulan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah bagi PRK tersebut manakala Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan dilantik sebagai pengarah operasi.
“Lepas ini, kita akan ke Gua Musang untuk tolong calon kita. Insya-Allah, kalau kita bekerja keras, kerja ikhlas, Allah akan beri kemenangan kepada kita.
“Mudah-mudahan kombinasi ini (Tengku Razaleigh dan Ahmad Jazlan) dapat beri kemenangan kepada kita. Umno Pahang wajib bantu calon kita di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Umno Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis, lapor Bernama.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK pada 17 Ogos dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos.
Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.
Mohd Azizi gugur keahlian Bersatu dan kerusi DUN berkenaan diumumkan kosong pada 19 Jun lepas oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO, Barisan Nasional (BN) negeri ini agar lebih berhati-hati memandangkan parti pembangkang merancang untuk menawan Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Pada PRU lepas, kita dapat 16 kerusi manakala PN peroleh 17 kerusi. Siapa yang selamatkan kita iaitu rakan daripada PH (Pakatan Harapan) kerana mereka sumbangkan lapan kerusi, jadi, 16 tambah lapan jadi, 24 kerusi.
“PAS dan Bersatu mempunyai 17 kerusi, mereka cuba untuk tawan Pahang pada pilihan raya akan datang, saya harap pemimpin UMNO dan Pahang, jangan benarkan mereka menang dan kita mesti beri sokongan kepada Wan Rosdy (Menteri Besar) dan rakan-rakan,” katanya.
Justeru, beliau berkata, gerak kerja parti mempertahankan negeri ini harus bermula sekarang dan perlu bekerja kuat serta tidak ambil mudah dengan serangan parti pembangkang memandangkan Perikatan Nasional (PN) telah menjadi kerajaan di empat negeri dan pastinya, tumpuannya selepas ini adalah Pahang.