1 JUL : Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan 10A dan ke atas yang memohon melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dijamin mendapat tempat tanpa mengira kaum mahu pun latar belakang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga menjamin kuota sedia ada bagi pelajar Bumiputera dalam Program Matrikulasi bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak terjejas dan kekal seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sebelum ini, apabila anak lulus SPM dan kemudian dengan terbatasnya ruang pendidikan, ia sedikit sebanyak akan menimbulkan isu. Maka pada Jumaat lalu, jemaah menteri bersidang dan mendengar keluhan rakyat serta meneliti usul, cadangan dan penyelesaian.
“Kerajaan memberi jaminan bahawa pelajar yang mencatat kejayaan (mendapat) 10A atau lebih di semua aliran persekolahan, mereka tanpa kecuali harus diberi jaminan tempat (ke insitutsi pengajian tinggi) oleh kerajaan supaya mereka tidak dipinggirkan atau ketinggalan.
“Dengan cara ini, kita dapat meleraikan masalah sementara supaya semangat perpaduan dalam kaum dapat dipupuk serta ditanam bibit (cintakan negara). Saya tidak mahu lagi perkara ini dijadikan sebagai isu kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad.
Namun, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan berani diambil Kerajaan MADANI itu bukan memberi gambaran pentadbirannya sudah menyelesaikan masalah dihadapi bidang pendidikan di negara ini.
Katanya, butiran lanjut perkara itu akan dijelaskan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim