Berdepan kritikan, PM ikrar terus jalankan amanah
2 JUL : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas akan terus menjalankan amanah yang dipikulnya meski berdepan kritikan pelbagai pihak.
Beliau ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini berkata segala tindakan yang diambilnya bagi mengukuhkan asas ekonomi negara.
Katanya, tindakan itu perlu diambil termasuk pelaksanaan penyasaran semula subsidi dan memerangi rasuah selepas berlaku ketirisan dan kecurian hasil negara.
“Subsidi disalurkan tidak sampai kepada golongan sasar. Soal diesel kita tahu, penyeludupan itu berleluasa, itu sudah rahsia umum puluhan tahun, kita bantu nelayan, tapi ada yang menggunakannya, menjual kepada nelayan asing.
“Kita tahu di kiosk petrol di sempadan itu penuh dengan pengambilan, pembelian hasil subsidi untuk kegunaan negara lain. Apakah itu tidak merisaukan? Sudah tentu ia merisaukan,” katanya.
Justeru itu tegasnya, semua pihak di semua peringkat harus berani dan bertanggungjawab bertindak.
“Sebab itu saya kata, dalam sistem negara yang memberikan ruang dan kebebasan, harus ada bukan sahaja pimpinan politik tetapi penjawat awam, pimpinan swasta, pimpinan kerajaan termasuk agensi, penting untuk mengambil sikap berani dan bertanggungjawab,” katanya.
Dalam amanat sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan melahirkan kebimbangan terhadap persekitaran politik kebencian yang semakin menebal di negara ini.
“Tidak mudah dalam negara ini kerana politik kebencian terlalu menebal, tak ambil gaji dihina, banteras rasuah dengan tegas pun dihina, baik dengan Hamas pun dihina, dengan Blackrock pun dia kata ejen Yahudi, fakta tidak dipedulikan sama sekali.
“Jadi yang diutarakan ialah kebencian, apakah ini harus mengganggu kita? Tidak,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim