2 JUL : Kerajaan mengesahkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 tidak akan dilaksana dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan penyasaran semula subsidi itu memerlukan masa sebelum ianya boleh dilaksanakan di negara ini.
Malah katanya, setakat ini belum ada kertas dasar dibawa ke Kabinet terhadap perkara berkenaan.
“Belum ada kertas dasar yang boleh membawa kita untuk melaksanakannya (rasionalisasi subsidi petrol RON95) dengan cepat. Ada kajian dari dulu, tetapi kita fikir lebih baik lihat dulu langkah (penyasaran) ke atas elektrik dan diesel.
“Lihat dulu kesannya dan bagaimana reaksi rakyat. Barulah kita sedia berunding apakah (ada) keperluannya,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengemukakan soalan tambahan berkait hasrat kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi terhadap petrol RON95.