4 JUL : Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendedahkan penyalahgunaan dana dalam Majlis Profesor Negara (MPN) lebih RM370,000 dan mengesyorkan pengurusan badan itu dirombak secara menyeluruh.
LKAN menyebut Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) yang dikawal selia Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu tidak pernah diaudit Jabatan Audit Negara sejak diperbadankan pada tahun 2014.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata MPN didapati membiayai operasi dua syarikat persendirian berjumlah RM373,516 selain wujud konflik kepentingan apabila dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) tidak mengisytihar kepentingan sebagai pemilik saham dalam dua syarikat berkenaan selaras Akta 777 (Akta Syarikat 2016).
“Pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi berjumlah RM207,000 juga dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan. Pembayaran juga dibuat tanpa kelulusan LPA iaitu membabitkan ‘Honorarium’ felo penyelidik berjumlah RM399,000; pemasangan lif dan pengubahsuaian pejabat berjumlah RM82,500; penyelarasan gaji pengurusan tertinggi berjumlah RM62,500 serta pembayaran elaun tetap presiden dan ketua pegawai eksekutif berjumlah RM66,000.
“Pengurusan geran yang tidak cekap membabitkan pengiktirafan geran tertunda sebagai hasil berjumlah RM2.43 juta tanpa dokumen sokongan, sebanyak RM0.92 juta dibelanjakan tidak mengikut tujuan geran diluluskan serta sejumlah RM475,000 peruntukan tidak digunakan,” katanya dalam laporan yang dikeluarkan hari ini.
Laporan itu turut menyebut MPN membuat pembayaran kad kredit korporat RM98,076 dan wang pendahuluan berjumlah RM20,000 tanpa dokumen sokongan.
Selain itu, LKAN juga mendapati penetapan kadar kenaikan gaji tahunan pengurusan tertinggi tidak diluluskan ahli LPA seperti ditetapkan Manual Skim Perkhidmatan MPN yang diluluskan 26 Julai 2022.
Seksyen 212 dibaca bersama Jadual Ketiga perenggan 24 Akta 777 pula menetapkan saraan, gaji dan komisen pengarah urusan tertakluk kepada terma yang ditentukan lembaga pengarah.
LKAN menyebut jadual penyelarasan gaji tahun 2022 serta 2023 MPN hanya diluluskan Presiden/KPE dan diperakui Pengerusi MPN yang melibatkan kenaikan gaji tahunan sebanyak 10% daripada gaji pokok pengurusan tertinggi.
“Sejumlah RM62,500 telah dibayar bagi tempoh April 2022 hingga Januari 2024 tanpa kelulusan LPA kepada Presiden/KPE dan Ketua Pegawai Operasi masing-masing berjumlah RM46,000 dan RM16,500.
“LKAN mengesyorkan supaya JPM mengkaji semula status MPN sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan dan status MPN perlu diputuskan sebelum dipertimbangkan sama ada penyaluran peruntukan geran wajar diteruskan atau sebaliknya.
“Sekiranya MPN kekal sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan, MPN perlu membuat pindaan terhadap Artikel Pertubuhan dengan memasukkan wakil kerajaan dalam LPA untuk memantau operasi dan kewangan MPN,” kata laporan itu.
Katanya lagi, JPM perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan MPN bagi ketakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan berkaitan dan pengurusan MPN perlu dirombak secara menyeluruh.
MPN menerima geran mengurus daripada kerajaan berjumlah RM35.84 juta bagi tempoh 2015 hingga 2018 serta 2022 dan 2023.