5 JUL : Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap digesa memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan seterusnya memilih beliau sebagai wakil rakyat pada pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu Sabtu ini.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang membuat gesaan itu berkata pengundi kawasan itu perlu memilih calon yang bersama dengan kerajaan negeri supaya suara mereka boleh dibawa dengan lebih efektif di dalam sidang DUN Pulau Pinang.
“Sungai Bakap ini kalau kalah atau menang pun tak akan berubah kerajaan negeri dan Persekutuan pun tak ada kena mengena. Tapi adalah lebih baik jika orang Sungai Bakap mengundi calon yang bersama dengan kerajaan negeri kerana di situ nanti akan ada dapat platform, wakil mereka boleh membawa suara atau apa-apa permasalahan mereka lebih efektif,” katanya, lapor Bernama.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rembau yang dihadiri lebih 100 ahli di Rembau pada Khamis, Timbalan Presiden UMNO itu turut meminta pengundi Sungai Bakap supaya tidak terpedaya dengan fitnah yang dikeluarkan pihak lain dan membuat pertimbangan sewajarnya.
PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.