9 JUL : Peletakan jawatan Perdana Menteri Perancis, Gabriel Attal ditolak Presiden Emmanuel Macron selepas pemimpin itu mengumumkan perkara itu susulan keputusan pusingan kedua pengundian bagi pilihan raya Parlimen, kelmarin.
Memetik laporan Agensi Anadolu (AA), Attal, perdana menteri termuda dalam sejarah negara itu yang dilantik Januari tahun ini diminta untuk terus memegang jawatannya itu.
Dalam keputusan pilihan raya Parlimen awal menunjukkan tiada satu pun daripada tiga pakatan utama yang memperoleh kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.
Attal yang hadir ke Istana Presiden Elysee untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya itu diminta kekal sebagai perdana menteri bagi memastikan kestabilan negara, lapor AA yang memetik sumber dari istana.
Attal merupakan bekas Menteri Pendidikan yang juga sekutu rapat Macron dan menjadi jurucakap kerajaan ketika pandemik COVID-19 dilantik menggantikan Elisabeth Borne.
Terdahulu, Macron membubarkan Parlimen dan menggesa pilihan raya diawalkan.