Segerakan rundingan peruntukan pembangkang, tak perlu berlari
9 JUL : Pembangkang diminta menyegerakan rundingan dengan kerajaan berkaitan peruntukan kawasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan perkara itu pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau meminta Datuk Awang Hashim (PN – Pendang) yang membangkitkan soal peruntukan wakil rakyat pembangkang menyampaikan perkara tersebut kepada bloknya.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan perkara itu sudah berulang kali dijawab namun serangan masih berlaku terhadapnya.
“Saya dah beri penjelasan ini berulang kali…walaupun saya terus diserang, kata kita zalimi, tidak beri peruntukan. Semua proses beri peruntukan di semua negara demokrasi mengikuti prosesnya, rundingan.
“Saya menyeru kepada YB Pendang, kalau boleh sampaikan kepada semua wakil-wakil parti dan segerakan perbincangan supaya hal ini tidak lagi jadi isu yang memanaskan suhu di dewan ini.
“Tak payah berlari, joging tak payah. Runding sahaja, bincang, selesai,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjalankan misi larian solo, Langkah Muar sejauh 200 kilometer dari Muar ke Parlimen bagi meraih dana untuk kawasannya.
Larian itu sebagai tanda protes terhadap kerajaan yang didakwa menyekat peruntukan bagi Parlimen pembangkang.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan rundingan itu tidak meletakkan sebarang syarat yang menyatakan pembangkang mesti menyokong perdana menteri.
“Saya beri mandat sepenuhnya kepada Timbalan Perdana Menteri II (Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk melakukan perbincangan. Tidak ada syarat kata mesti sokong perdana menteri, tidak ada.
“Saya tidak pernah kenakan syarat itu. Ia sama seperti kami lakukan semasa Bera (Datuk Seri Ismail Sabri) menjadi perdana menteri…juga diwakili kedua-dua pihak, ada rundingan lima…enam kali, kemudian tersangkut satu dua isu.
“Saya sebagai Ketua Pembangkang (pada waktu itu), bincang dengan perdana menteri (Ismail) dan muktamadkan perkara demikian,” katanya.