12 JUL : Tempoh sah laku pasport antarabangsa Malaysia bakal dipanjangkan kepada 10 tahun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya sudah bersedia untuk melaksanakan perkara itu.
“Kita sudah bersedia mengeluarkan pasport untuk tempoh 10 tahun. Buat masa sekarang, tempoh sah laku pasport kita selama lima tahun.
“Ini bukanlah satu perkara baharu. Negara jiran kita seperti seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura sudah keluarkannya (tempoh passport 10 tahun). Malah, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis juga mengeluarkan pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun.
“Jadi kita sudah bersedia tetapi tarikh pelaksanaannya itu kita akan umumkan supaya rakyat ada pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas perasmian Pejabat Pasport bertempat di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.
Menyentuh tentang program hari ini, beliau berkata pejabat passport itu yang ke-72 di negara ini namun ia yang pertama di Malaysia ditempatkan dalam bangunan lapangan terbang.
“Ini yang ketujuh di Sabah. Sebelum ini kita ada di Kota Kinabalu, ibu pejabat Jabatan Imigresen (JIM) Kota Kinabalu, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau, UTC Keningau, pejabat JIM Sandakan dan pejabat JIM Lahad Datu.
“Bila kita wujudkan satu lagi di sini, tentunya ia memberi manfaat kepada komuniti berhampiran meliputi daerah Papar, Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu…jadi ia memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat,” katanya.