13 JUL : Segala kelompangan dalam akta anti lompat parti perlu diperbaiki bagi mengelak rakyat merasa benci dan muak terhadap tindakan wakil rakyat yang bertukar sokongan.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata beliau menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kerajaan bersedia untuk berbincang bagi meminda akta itu.
“Kita nampak mungkin ada kelompangan yang boleh kita perbaiki, sudah tentu saya menyambut baik apa yang perdana menteri nyatakan.
“Jadi, sebab apa yang kita inginkan pada masa akan datang ialah masa depan negara ini, masa depan yang kita inginkan lebih stabil sebab kita tidak mahu esok rakyat benci dan muak dengan ahli politik,” katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pendang pada Jumaat.
Menurut Akmal, sebagai ahli politik apabila mengetahui adanya kelemahan maka perkara itu perlu diperbaiki.
“Bila rakyat benci dan muak dengan ahli politik,maka akhirnya esok apa nak jadi dengan negara kita. Jadi hari ini kita sebagai orang politik kita tahu ada kelemahan maka kita kena perbaiki,” katanya.
Mengulas lanjut, Akmal melihat jika tindakan enam ahli Parlimen yang juga bekas ahli Bersatu itu dibenarkan, maka ketidakstabilan politik akan berlaku.
“Mungkin selepas ini, (lompat parti) akan berlaku di Perak, di Pahang dan di Negeri Sembilan, mungkin akan berlaku juga di negeri-negeri yang lain. Jadi, akhirnya rakyat terpaksa menanggung kecuaian kita, kesalahan daripada orang politik kita.
“Saya orang yang berpendirian, kalau kita rasa salah, tetap salah, betul, tetap betul,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal menegaskan beliau tidak pernah bersetuju dengan mana-mana wakil rakyat yang melompat selari prinsip UMNO.
Malah katanya, negara sudah banyak kali bertukar perdana menteri hingga negara dan ekonomi tidak dapat dibangun dengan baik.
“Ini prinsip di bawah UMNO dari dahulu lagi, jikalau orang UMNO melompat kita marah, jikalau orang Bersatu melompat pun kita marah (dan) jikalau orang Pakatan Harapan (PH) melompat pun kita marah (kerana) ini prinsip kita.
“Ini bukan soal parti, ini soal bagaimana hendak stabilkan kerajaan yang ada, sebab itu persoalan saya jikalau hari ini kita benarkan enam orang melompat, jadi jikalau ada orang lain melompat selepas ini (maka) adakah kita akan benarkan,” katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan enam ahli Parlimen yang sebelum ini dipecat Bersatu selepas mengisytihar sokongan kepada Kerajaan Perpaduan kekal sebagai wakil rakyat.