13 JUL : Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) untuk pelarian Palestin berdepan kekurangan dana untuk terus beroperasi.
Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini berkata dana yang ada kini hanya cukup untuk beroperasi sehingga September ini.
“Kami bekerja tanpa mengenal penat lelah dengan rakan kongsi bagi memulihkan keyakinan terhadap agensi itu,” katanya, lapor AFP.
Badan itu berdepan isu dana selepas beberapa negara menghentikan pembiayaan, berikutan dakwaan Israel pada Januari lalu beberapa pekerjanya menyertai serangan 7 Oktober tahun lalu.
Terdahulu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memohon bantuan dari penderma bagi memastikan badan itu terus beroperasi.
Kata Guterres, rakyat Palestin akan kehilangan talian hayat kritikal tanpa UNRWA.
“Biar saya jelaskan – tiada alternatif kepada UNRWA. Apabila kami fikir ia tidak akan menjadi lebih teruk di Gaza, entah bagaimana, sungguh mengerikan, orang awam terus menderita dalam keadaan yang semakin buruk dan tiada perikemanusiaan,” kata Guterres.
Menurut Guterres, sejak perang berlaku, 195 kakitangan UNRWA terkorban sekaligus angka kematian tertinggi kakitangan dalam sejarah PBB.
Sebelum ini Kongres Amerika Syarikat (AS) menghalang pembiayaan lanjut untuk UNRWA malah pentadbiran Presiden Joe Biden mengarahkan saluran dana untuk orang awam Palestin itu dibuat kepada pertubuhan lain.