16 JUL : Polis tidak akan melindungi mana-mana anggotanya yang terlibat kes jenayah termasuk seorang Lans Korporal yang direman berhubung kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan kes itu akan dijalankan dengan telus dan adil tanpa mengira pangkat mahu pun kedudukan.
“Pangkat atau kedudukan tidak penting. Anggota polis yang melakukan jenayah akan menghadapi keadilan atas apa yang mereka lakukan, jangan harap kami akan lindungi perbuatannya.
“Kita tidak akan benarkan ‘nila setitik’ menjejaskan imej polis,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian bagi mengulas soal penahanan seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Slim River, Perak bagi membantu siasatan kes bunuh Wanita berusia 25 tahun itu.
Suspek berusia 26 tahun itu disahkan teman lelaki mangsa direman tujuh hari sehingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan.
Semalam, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Sebelumnya, mangsa dilaporkan hilang sejak Rabu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.