18 JUL : Orang awam tidak perlu menunggu sehingga 24 jam bagi melaporkan kes orang hilang, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Katanya, dakwaan perlu menunggu sehingga 24 jam sebelum membuat laporan itu adalah mitos yang disebarkan tanpa asas.
“Tidak ada ketetapan atau undang-undang yang memaksa anda bersabar, bertenang atau bertahan dalam tempoh panjang.
“Ada yang kata perlu tunggu sampai 24 jam, 48 jam hingga 72 jam dalam keadaan gementar serta gemuruh. Ini mitos semata,” katanya lapor Sinar Harian.
Menurutnya, orang awam boleh segera melaporkan kes orang hilang di mana-mana balai polis selepas melakukan carian terhadap orang yang dirasakan hilang dan gagal hubungi.
Jelasnya, ini sebagai langkah awal mengelakkan suatu insiden buruk berlaku terhadap individu yang dilaporkan hilang itu.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan masyarakat terus memainkan peranan membantu menyalur maklumat mengenai kes orang hilang.
“Peranan masyarakat sangat dihargai dalam membantu pihak polis.
“Saluran di pelbagai medium kita hebahkan berkait kes orang hilang untuk orang awam bersama kita membantu siasatan kes,” katanya.
Baru-baru ini tular pertanyaan daripada warganet mengenai prosedur operasi standard (SOP) mengenai laporan polis yang perlu dibuat berkait kes orang hilang.