22 JUL : Kerajaan akan membawa pulang rakyat dan pelajar Malaysia di Bangladesh demi keselamatan mereka susulan kemelut tunjuk perasaan yang semakin memuncak di negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan meletakkan aspek keselamatan rakyat sebagai keutamaan tanpa mengira keberadaan mereka.
“Kita ikuti perkembangan terkini di Bangladesh dan meneliti sama ada keadaan itu membimbangkan…demi keselamatan anak-anak kita sama ada yang mendapat bantuan kerajaan atau pelajar swasta, kita akan bantu.
“Menteri Luar akan mengadakan mesyuarat kalau perlu kita menyewa pesawat untuk membawa mereka pulang.
“Keselamatan anak-anak (pelajar) menjadi keutamaan kita dan beberapa hari pertama nampak keadaan mungkin terkawal.
“Tetapi sekarang ini mengikut maklumat kedutaan rasanya lebih sesuai dibawa pulang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024, hari ini.
Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengumumkan kerajaan akan mengaktifkan pelan evakuasi untuk tujuan tersebut.
Menurutnya, ini termasuk melibatkan 124 pelajar di Dhaka, Bangladesh.
“Penerbangan menggunakan pesawat AirAsia Airbus A330 yang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dhaka jam 10 pagi esok.
“…dijangka berlepas pulang sejurus urusan penerbangan pulang selesai,” katanya dalam satu siding media.
Semalam, Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pelajar Malaysia yang terkesan dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia demi keselamatan.
Langkah itu dilaksanakan kerana memahami kebimbangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan ahli keluarga mereka di Bangladesh.