23 JUL : Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Rayuan memutuskan mereka bersalah membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membuat Keputusan itu selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah Rayuan menyifatkan pembunuhan itu sebagai jenayah kekejaman yang paling jarang ditemui malah hakim turut bersetuju dengan pendakwaan bahawa pembunuhan dilakukan terhadap mangsa itu mengejutkan hati nurani kehakiman juga masyarakat.
Hakim Hadhariah yang membacakan alasan penghakiman bertulis 93 muka surat lebih tiga jam itu berkata tindakan tertuduh seolah-olah tubuh badan mangsa tiada sedikit nilai pun pada mata mereka.
“Ibu bapa mana tidak merasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila mayat si mati dikembalikan ke pangkuan untuk dikebumikan dalam keadaan yang cukup memilukan dan menyayat hati.
“Benar kata pepatah ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hancur dan luluhnya hati serta perasaan mereka apabila melihat keadaan anak mereka diperlakukan sebegini rupa oleh keenam-enam tertuduh ini seolah-olah tubuh badan simati ini tidak sedikit pun mempunyai nilai di kaca mata mereka sehingga mereka tergamak menyeksa dan berbuat kezaliman seperti ini.
“Mahkamah tidak akan bertoleransi dalam kejadian sebegini. Ibu bapa mana yang sanggup menanggung derita melihat anak kesayangan mereka diseksa sebegini rupa sehingga membawa kepada kematian simati di dalam keadaan yang sungguh mengerikan,” katanya.
Dalam pada itu, mahkamah sebulat suara memutuskan hanya satu hukuman yang wajar dijatuhkan terhadap tertuduh iaitu gantung sampai mati.
Mahkamah mengetepikan rayuan pendakwaan terhadap hukuman 18 tahun penjara yang dikenakan Mahkamah Tinggi sebelum ini dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati, manakala rayuan balas tertuduh terhadap hukuman ditolak.
Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati kesemua tertuduh bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan mengenakan hukuman 18 tahun penjara.