26 JUL : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akui masih belum berpuas hati dengan perkembangan ekonomi negara meski ia menunjukkan pertumbuhan positif.
Katanya, rakyat hari ini masih berdepan masalah kos sara hidup.
“…Tapi kalau tanya saya, adakah saya puas hati? Saya tidak puas hati kerana kita masih hadapi masalah kos sara hidup.
“Harga barang yang menekan kehidupan. Sebab itu saya telah umumkan beberapa langkah untuk membantu rakyat secara langsung yang dipanggil Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Bantuan itu kepada sembilan juta orang, tidak termasuk sekolah, I-Sara dan sebagainya yang jumlahnya RM10 bilion, bukan kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Pada majlis sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kenaikan gaji penjawat awam melalui sistem saraan baharu yang akan diumumkan tidak lama lagi akan menjadi yang paling tinggi dalam sejarah.