27 JUL : UMNO perlu menangani politik sentimen dan politik kebencian selain menekankan politik perkhidmatan dalam usaha menarik kembali sokongan masyarakat Melayu terhadap parti itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata strategi itu akan menjadi rahsia kebangkitan semula parti tersebut selaku wadah perjuangan utama masyarakat Melayu di negara ini.
Beliau berkata, UMNO juga bukan parti bermusim yang hanya muncul apabila tiba pilihan raya, sebaliknya parti itu bergerak setiap masa.
“Dalam situasi sekarang politik sentimen dan politik kebencian mesti ditangani oleh jentera-jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan kita juga perlu fokus kepada politik pembangunan dan politik perkhidmatan. Ini mesti diteruskan.
“Parti lain menang kerana mainkan isu dan sentimen tetapi UMNO parti orang baik-baik. Jadi kalau kita mahu menang kita buat kerja cara orang menang,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau di Dewan Muafakat Johor Taman Adda di Johor Bahru, malam tadi, lapor Bernama.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menggesa jentera untuk menggunakan pendekatan terkini dalam menyantuni pengundi khususnya menerusi pelbagai platform media sosial.
“Cara dulu sesuai dengan zaman dulu, cara sekarang perlu sesuai dengan zaman sekarang. Kita perlu jadi pempengaruh, perlu ada kandungan yang baik untuk dekati pengundi. Perkara ini boleh dibuat dengan bantuan sayap Pemuda dan Puteri. Ini tidak mustahil.
“Saya yakin dengan pendekatan ini kita mampu menang lebih 30 kerusi Parlimen dan juga pertahankan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor dalam pilihan raya akan datang. Saya sendiri akan turun padang dan bantu jentera UMNO,” kata Timbalan Perdana Menteri.