30 JUL : Epidemik polio disahkan melanda Gaza susulan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di wilayah itu sejak 7 Oktober tahun lalu.
Kementerian Kesihatan memaklumkan situasi itu menimbulkan ancaman kesihatan terhadap penduduk Gaza dan negara jirannya.
Pada masa sama, kementerian itu turut menggesa campur tangan segera untuk mencari penyelesaian radikal kepada isu kekurangan bekalan air bersih dan kit kebersihan diri dan langkah melupuskan sampah sarap serta sisa pepejal.
Memetik laporan AFP, virus polio dikesan pada sampel kumbahan di enklaf tersebut ketika rejim Zionis terus melancarkan serangan serta memaksa penduduk berpindah.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengeluarkan amaran berkait peningkatan risiko penyebaran virus polio di seluruh Gaza selain ia berpotensi merebak ke peringkat antarabangsa pada kadar yang tinggi.
Ribuan penduduk Palestin kini terpaksa bersesak di ‘bandar khemah’ terdedah kepada penyakit berjangkit.
Selain virus itu, penyakit seperti kudis, cacar air, ruam pada kulit dan serangan kutu juga merebak dengan cepat, kata pegawai perubatan.