Tahap keselamatan siber di Malaysia lemah
30 JUL : Tahap keselamatan siber Malaysia yang berada pada tahap yang lemah jika dibanding dengan negara lain mendorong kerajaan memperkenalkan peraturan dan rang undang-undang (RUU) keselamatan siber.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu keselamatan itu terutama melibatkan serangan siber memerlukan tumpuan khusus.
“Serangan siber masih dalam urutan keutamaan dan ini memerlukan satu tumpuan, latihan kepakaran dan jaringan syarikat serta badan risikan yang boleh dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Bulan Keselamatan Negara di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, media sosial digunakan secara salah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab termasuk melibatkan buli hingga menyebabkan tindakan bunuh diri, eksploitasi kanak-kanak untuk tujuan seks serta scam yang mencecah lebih RM2.5 bilion.
“Dia kata jangan sekat kebebasan, apakah kebebasan itu menipu, mencuri, mendera orang sehingga bunuh diri?
“Hal ini harus difahami rakyat kerana dalam soal keselamatan diri, harga maruah mesti diberi keutamaan,” katanya.
Pada Ahad lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perundangan baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan digital merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan suis pemati akan dibentang di Parlimen Oktober ini.
Beliau berkata, undang-undang itu antara lain bakal meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet untuk memainkan peranan bagi menangani jenayah dalam talian seperti penipuan, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan dan antun seksual (sexual grooming).
Sehari sebelum itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memaklumkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menurut MCMC, langkah itu akan dikuatkuasakan 1 Januari depan selepas satu kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenal pada 1 Ogos ini.