Pembunuhan Ismail Haniyeh cubaan gagalkan rundingan damai
31 JUL : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh sebagai cubaan untuk menggagalkan rundingan damai bagi gencatan senjata antara rejim zionis dan Hamas.
Beliau yang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu menyifatkan ia secara jelas telah merencatkan perancangan untuk menghentikan penindasan di Gaza yang sehingga kini telah meragut sehingga 40,000 nyawa rakyat Palestin.
Katanya, hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja akan melihat tiada keperluan untuk meningkatkan tekanan ke atas rejim zionis untuk menghentikan kegilaan membunuh rakyat Palestin.
“Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail.
“Mereka yang telah mengkritik saya saat bertemu saudara Ismail sebelum ini telah gagal menghargai keinginan mendalam almarhum untuk sebuah Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hari ini dilaporkan Ismail yang juga bekas Perdana Menteri Palestin dibunuh di Tehran selepas mengikuti pelantikan Presiden baharu Iran, semalam.
Dalam pada itu Anwar berkata beliau berduka dan meratapi pemergian seorang sahabat yang akrab serta tokoh pejuang sejati rakyat Palestin itu.
Anwar berkongsi rakaman perbualan telefon dengan Dr Basem Naim di mana beliau menyampaikan kepada Anggota Biro Politik Hamas itu, Malaysia akan teguh menyokong perjuangan bagi membentuk Palestin sebagai negara yang bebas dan Merdeka.
Dalam perbualan tersebut, Anwar berkongsi pandangannya bahawa serangan berkenaan adalah satu perancangan untuk menggagalkan perjanjian damai yang sangat didambakan rakyat Palestin.
“Saya pernah bercakap dengan saudara Ismail melalui telefon dan bertemu dengannya di Doha, kami berhubung dengan beberapa rakan kami. Beberapa hari yang lalu, maklumat terkini dari saudara-saudara kita di Turki dan jelas bahawa saudara Almarhum Ismail adalah tonggak perjuangan ini.
“Dan salah satu hal yang diperjuangkan adalah perjanjian damai bagi mengembalikan hak rakyat Palestin. Jelas ada unsur sabotaj. Mereka tidak mahu perjanjian damai ini berjaya,” katanya.