2 OGOS : Bermula 1 Oktober depan, mana-mana pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh.
Ia bagi pemegang lesen yang sudah mencapai tempoh 10 tahun dan ke atas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pemohon perlu menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu (IM) dengan kos sebanyak RM160.
Selain itu katanya, pemohon juga perlu menjalani program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pengoperasian motosikal berkuasa besar untuk tempoh dua jam.
“Melalui program amali itu, pemohon mesti mendapatkan pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar oleh ‘Qualified Training Officer’ (QTO) di IM.
“Pengesahan ini amat penting bagi memastikan tahap kompetensi dan keupayaan seseorang itu untuk mengendalikan motosikal berkuasa besar, demi meningkatkan tahap keselamatan pemanduan individu terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.
Menurut Loke, pemohon perlu memiliki LLM kelas B1 atau B2 secara aktif berterusan untuk minimum 10 tahun bagi memastikan tahap kompetensi serta pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar.
Selain itu, pemohon juga mesti bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau apa-apa perkara yang belum selesai bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Pemohon juga perlu membuat pengesahan sihat tubuh badan, fizikal dan minda secara deklarasi kendiri,” katanya.
Menurut Loke lagi, program peralihan itu tidak mempunyai tempoh tamat dan akan diteruskan hingga suatu masa yang ditentu kemudian.
“Sebelum ini, kos mendapatkan LLM kelas B adalah RM900 serta perlu menjalani kelas teori selama dua jam dan latihan litar 9.5 jam. Ketika ini, terdapat lebih 10 juta pemegang LLM kelas B2,” katanya.
Selain itu, kerajaan memutuskan mulai 1 Oktober ini tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka.
Sebaliknya LLM kelas B1 dengan B digabungkan susulan permintaan bagi LMM kelas B1 terlalu rendah setiap tahun kerana orang ramai lebih memilih untuk mendapatkan lesen kelas B.
“Dengan mendapatkan LMM motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah saja bagi kelas B1.
“Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal dalam kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas berkenaan bagi mendapatkan lesen kelas B,” katanya.