5 OGOS : Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dilaporkan sudah meletak jawatan, hari ini.
Reuters yang memetik laporan media tempatan itu menyebut Hasina didakwa sudah pun meninggalkan Bangladesh hari ini dan dibawa ke sebuah lokasi yang selamat.
Beliau menerima desakan untuk melepaskan jawatan selepas protes ganas berpanjangan yang berlaku melibatkan mahasiswa di negara itu.
Sumber yang rapat dengan pemimpin itu dilaporkan berkata Hasina sudah meninggalkan Dhaka bersama adiknya, Sheikh Rehana ke tempat yang lebih selamat.
“Hasina ingin merakamkan ucapan tetapi tidak ada peluang untuk melakukannya,” kata sumber itu.
Akhbar Prothom Alo turut melaporkan pemimpin berusia 76 tahun itu melarikan diri dari Bangladesh.
Bahkan, video sebuah helikopter didakwa membawa Hasina juga tular dalam media sosial menyatakan pemipin itu terbang ke ‘tempat selamat’ pada jam 2.25 petang (waktu tempatan).
Sementara itu, Ketua Turus Tentera Darat, Jeneral Waker-Uz-Zaman mengumumkan kerajaan sementara akan dibentuk.
Protes yang bermula bulan lalu pada awalnya menentang kuota pekerjaan perkhidmatan awam yang dikhaskan lebih separuh untuk Kumpulan tertentu sebelum ia merebak ke seluruh negara.
Namun protes tetap menjadi semakin teruk meski skim itu dikurangkan mahkamah tertinggi Bangladesh, baru-baru ini.
Hasina memerintah Bangladesh sejak 2009 dan memenangi pilihan raya keempat berturut-turut pada Januari.
Kerajaannya dituduh menyalahguna institusi negara untuk mengukuhkan kuasanya dan menghapuskan perbezaan pendapat termasuk melalui pembunuhan di luar undang-undang.