5 OGOS : Malaysia berhasrat untuk membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi menerima rawatan di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan akan menyediakan peruntukan dana bagi tujuan berkenaan, selain menzahirkan penghargaan kepada negara-negara yang turut sama memberikan kerjasama bagi melaksanakan misi kemanusiaan itu.
“Saya berhubung dengan Presiden (Mesir), Abdel Fattah El-Sisi meminta bantuannya bagi memudah cara bantuan kemanusiaan (ke Palestin) dan sokongan serta membenarkan kami membawa pulang beberapa wanita dan kanak-kanak Palestin yang cedera untuk dirawat di Malaysia,” kata beliau, lapor Bernama.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan pidato dalam acara kemuncak pada Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, malam ini.
Selain itu, perdana menteri berkata kerajaan juga berhasrat memberikan rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera dan berada di negara terbabit.
Anwar berkata beliau turut menghubungi pemimpin dari negara luar termasuk Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan serta Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman untuk terus memberikan dukungan dan bantuan kemanusiaan berterusan kepada rakyat Palestin.
Dalam pada itu, Anwar berkata usaha untuk membela hak, kebebasan dan kemerdekaan Palestin sudah lama diperjuangkan negara ini, malah ia amat sebati dengan jiwa rakyat Malaysia.
“Sebab itu kita tak mempedulikan pandangan Barat atau mana-mana negara yang mahu letakkan siapa yang harus kita perjuangkan.
“Sementara kita bekerjasama dengan semua kelompok termasuk pihak berkuasa Palestin, kita berjumpa (Presiden Palestin) Mahmoud Abbas, kita tetap pertahan hak Hamas sebagai pejuang dalam gerakan membebaskan hak Palestin dan Gaza,” kata Anwar.
Perdana menteri berkata Malaysia juga akan sedaya upaya terus berjuang demi Palestin berpandukan kepada prinsip keadilan dan kemanusiaan.
“Kita tiada pilihan (terus berjuang), siapa kata saya berani sangat. Saya hanya mewakili saudara (rakyat Malaysia) menjalankan tanggungjawab, insya-Allah dengan mandat diberi saya akan lakukan sedaya upaya mampu untuk membantu membela nasib Palestin.
“Saya harap kita jangan henti bicara isu Palestin hari demi hari, jangan henti bantu dan sedekah ringankan beban Palestin, saya mahu Malaysia dalam sejarah (dikenang) sebagai negara yang konsisten dan bersungguh-sungguh memperjuangkan rakyat Palestin,” katanya.
Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena malam ini memberi isyarat jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia kekal berada di belakang Palestin dan terus menuntut kemerdekaan negara itu daripada rejim Zionis Israel.
*Foto : Facebook Dr Dzulkefly Ahmad