PMO tuntut Meta mohon maaf secara terbuka
5 OGOS : Pejabat Perdana Menteri (PMO) menuntut Meta Platforms Inc (Meta) memohon maaf secara terbuka susulan tindakan menurunkan ucapan takziah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
PMO turut menuntut Meta memberi penjelasan terperinci berkait tindakan itu.
Tuntutan itu disampaikan PMO kepada wakil Meta Inc yang dipanggil ke Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO di Putrajaya, hari ini.
“Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO memanggil Meta bagi menuntut penjelasan terkait tindakan penurunan beberapa hantaran di platform Facebook dan Instagram milik Perdana Menteri bertarikh 14 Mei dan 30 Julai lalu.
“PMO menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran Perdana Menteri yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap asy yahid Ismail yang dibunuh baru-baru ini.
“PMO melihat tindakan Meta itu sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan, selain penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin yang menuntut keadilan dan hak asasi manusia,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut PMO, tindakan Meta itu memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang memahami penderitaan rakyat Palestin serta menentang kezaliman rejim Zionis Israel seperti terpahat dalam lipatan sejarah.
“Keputusan unilateral untuk menapis kandungan tanpa pertimbangan terhadap konteks hantaran, jelas menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dalam dasar penapisan kandungan Meta,” katanya.
Dalam kenyataan sama, PMO juga kesal dengan tindakan Meta menyekat siaran langsung menerusi Facebook membabitkan akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
PMO berkata, pihak Meta akan mengeluarkan satu kenyataan media berkait perkara itu seperti dijanjikan dalam pertemuan hari ini.
Hantaran Anwar pada 31 Julai lalu yang mengutuk pembunuhan Ismail diturunkan malah gambar pertemuan dengan pemimpin Hamas itu turut diturunkan dengan amaran ‘Dangerous individuals and organisations’.
Susulan itu, Anwar mengingatkan Meta agar tidak menjadi perkakas rejim Zionis.